Sifat utama Natrium

Seperti logam-logam alkali yang lain, logam natrium adalah lembut, ringan dan berwarna putih keperakan. Oleh kerana ia terlalu cergas, ia hanya wujud secara semulajadi dalam bentuk sebatian, dan tidak pernah sebagai logam keunsuran yang tulen. Logam natrium terapung di atas air, lalu bertindak balas dengan amat cergas sambil menghasilkan haba, gas hidrogen yang mudah terbakar serta larutan natrium hidroksida kaustik.

Ion natrium adalah penting untuk pengawalaturan bendalir tubuh dan darah, penghantaran impuls saraf, aktiviti jantung, dan sesetengah fungsi metabolik. Terdapat anggapan meluas bahawa manusia biasanya akan memakan lebih daripada yang diperlukan, dalam bentuk natrium klorida, atau garam biasa, dan ini akan mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan. Lihat Garam.

Di bawah tekanan yang melampau, natrium tidak lagi mengikut aturan biasa dalam perubahan kepada keadaan cecair. Kebanyakan bahan memerlukan lebih tenaga haba untuk melebur di bawah tekanan berbanding dengan dalam keadaan tekanan normal atmosfera. Ini adalah kerana molekul-molekul akan disusun lebih rapat antara satu sama lain dan mempunyai ruang yang lebih kecil untuk bergerak.Pada tekanan 30 gigapascal (300,000 kali ganda tekanan atmosfera pada paras laut), suhu lebur natrium mula menurun. Pada 100 gigapascal, natrium akan melebur hampir pada suhu bilik.

Penjelasan untuk kelakuan yang luar biasa ini adalah mungkin kerana unsur ini mempunyai satu elektron bebas yang ditekan lebih rapat dengan 10 lagi elektron-elektron apabila diletakkan di bawah tekanan, memaksa wujudnya interaksi yang pada kebiasaannya tidak akan hadir. Apabila berada di bawah tekanan, natrium pepejal membentuk beberapa struktur hablur yang ganjil, mencadangkan bahawa cecair tersebut mungkin akan mempunyai sifat-sifat seperti superkondusi atau superfluidity. (Gregoryanz, et al., 2005)